Daripada hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Said bin Zaid bin Amru bin Nufail r.a katanya.
“Aku pernah mendengar Nabi S.a.w bersabda:Cendawan adalah sejenis Manna (satu anugerah yang amat istimewa) dan dapat mengubati mata”
Rujukan sahih muslim:No 3816
Ganoderma: The outline of herbal medicine
Ganoderma Lucidium(merah) atau ling zhi
Cendawan kawal kanser?
BUKAN satu rahsia. Cendawan merupakan sebahagian daripada diet atau pemakanan yang bukan sahaja enak dan pelbagai tetapi juga berkhasiat dan penting dalam kehidupan seharian.
Bayangkan sahaja sup cendawan keju dengan kruton atau dicampur bijirin yang lazat dan berkrim. Sungguh menyelerakan!
Kesan legendanya sebagai penawar herba kini turut meraih perhatian saintis Barat untuk melakukan penyelidikan demi penyelidikan.
Cendawan telah diamalkan di dalam perubatan herba tradisional di China dan Jepun sejak beribu tahun lampau.
Di Asia, cendawan biasa digunakan untuk melegakan kesakitan dan merawat penyakit-penyakit seperti artritis.
Tidak hairanlah jika spesies kulat yang sering diklasifikasikan dalam kumpulan yang sama dengan buah-buahan dan sayur-sayuran ini bakal muncul kelas seterusnya yang tersendiri dalam perubatan alami.
Pengamal perubatan tradisi Cina, Martin Powell dalam kunjungannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini berkongsi maklumat bagaimana ‘sentuhan ajaib’ cendawan yang dakwanya, boleh digunakan untuk meningkatkan keberkesanan rawatan kanser.
Menurutnya, cendawan mempunyai manfaat unik bagi mereka yang menjalani rawatan konvensional kanser kerana selamat digunakan bersama-sama dengan perubatan moden.
‘‘Terdapat banyak perubatan herba yang tidak diterima oleh doktor kerana berkemungkinan interaksi dengan ubat, tetapi penggunaan cendawan ini dianggap selamat dan telah digunakan oleh doktor sebagai rawatan tambahan di Barat.
‘‘Coriolus versicolor merupakan cendawan yang paling banyak dikaji untuk menyokong kegunaannya ke atas kanser dan telah digunakan untuk terapi kanser di China dan Jepun. Pada lewat 1980-an jualan Coriolus di Jepun dianggarkan berjumlah AS$600 juta (RM2.884 bilion),” ujar Powell.
Anak kelahiran United Kingdom (UK) ini turut menyampaikan ceramah bertajuk Khasiat Cendawan dalam Pengawalan Kanser kepada para pengamal perubatan tradisi Cina, anjuran Bio-Life, sebuah syarikat tempatan yang berkecimpung dalam penjagaan kesihatan secara semula jadi.
Powell merupakan seorang ahli biokimia yang juga berkemahiran dalam perubatan Cina setelah melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut di Sekolah Akupuntur dan Perubatan Tradisional Cina London serta di Klinik Perubatan Tradisional Cina, Shanghai, China.
Kini, beliau merupakan pensyarah Perubatan Herba Cina dan Terapi Nutrisi di Universiti Westminister, London selain memberi syarahan tentang khasiat cendawan untuk Mycology Research Laboratories (MRL) di Portugal, Ireland dan England.
Powell telah menjadi tenaga pengajar sejak tahun 1997 dan mengajar mengenai perubatan Cina di Ireland dan Sweden.
Pemakanan berkhasiat cendawan adalah salah satu bidang pengkhususannya.
Mengulas lanjut, Powell berkata, dua ekstrak daripada Coriolus versicolor telah diuji secara mendalam di China dan Jepun dan didapati mampu meningkatkan jangka hayat penghidap kanser payudara, paru-paru, perut, usus dan nasofarinks.
‘‘Kini, cendawan ini digunakan secara meluas untuk menyokong sistem imuniti badan dalam pengawalan kanser.
‘‘Rawatan radioterapi dan kemoterapi akan melemahkan sistem imuniti badan dan pengambilan cendawan membantu keberkesanan rawatan, mengurangkan kesan sampingan serta menyokong sistem imun.
Berulang
‘‘Pengambilan berterusan selepas rawatan membantu mengelak kanser daripada berulang. Selain itu, ia turut digunakan dalam beberapa masalah jangkitan virus yang kronik,” katanya.
Dalam perubatan Barat, apabila mereka menilai sesuatu penyakit, mereka tidak melihat seseorang itu secara keseluruhan walaupun ia penting terutamanya bagi penyakit tahap akut.
Powell tertarik dengan bagaimana masyarakat Cina membuat penilaian mengenai kesihatan dan penyakit.
‘‘Ia ada kaitan dengan ‘yin dan yang’, tujuh emosi. Contohnya jantung adalah keceriaan, limpa adalah kerisauan, ginjal adalah ketakutan, hati adalah kemarahan dan paru-paru adalah kesedihan.
‘‘Manakala konsep keharmonian dan keseimbangan juga dianggap sebagai sesuatu yang diperlukan dalam kehidupan,” jelas beliau.
Tambahnya, cendawan yang paling banyak digunakan adalah Coriolus, Cordyceps sinensis dan Reishi (Lingzhi).
Powell sendiri banyak menggunakan lingzhi untuk rawatan rinitis kerana ia bersifat antihistamin, antiradang dan bahan pemodulasi imun.
Ia membantu mereka yang kurang tenaga dan lelaki yang mempunyai fungsi seksual yang lemah. Beliau memberitahu:
‘‘Saya akan mengambil Coriolus apabila mendapat selesema, semasa mengembara dan apabila berada dalam stres. Pengambilan Coriolus dan vitamin C membantu mengelakkan jangkitan.
‘‘Dalam masalah kanser seperti payudara, perut, usus, prostat, hati dan juga leukemia, pengambilannya berupaya membantu menyokong sistem imun.
‘‘Di UK, ada doktor haiwan yang memberi Coriolus kepada anjing dan kucing yang menghidap kanser tahap akhir dan ia membantu meningkatkan selera makan dan kualiti kehidupan haiwan berkenaan.”
Produk cendawan yang dimaksudkan oleh Powell adalah daripada MRL di California, yang memfokuskan kepada perkembangan klinikal untuk menyokong sistem imun.
MRL mempunyai perpustakaan yang ekstensif mengenai jenis-jenis cendawan untuk memastikan spesies cendawan yang betul dan bioaktif digunakan.
Contohnya, spesies yang betul mengikut Chinese Pharmocopoeia adalah Cordyceps sinensis, tetapi dianggarkan 75 peratus produk di pasaran menggunakan Cordyceps militarium.
Kajian menunjukkan cendawan Shiitake, Maitake, Reishi, Cordyceps sinensis dan Coriolus versicolor bersifat antitumor.
Maitake, Coriolus dan Reishi juga bersifat antiradang manakala Coriolus dan Reishi bermanfaat untuk melindungi hati.
‘‘Coriolus, Maitake dan Reishi mempunyai bahan hipoglisemik (mengurangkan kandungan gula darah) manakala Cordyceps mempunyai aktiviti steroid.
‘‘Cendawan ini mengandungi polisakarida berantai panjang, beta glukan dan proteoglikan dan enzim-enzim untuk mengelakkan tekanan oksidatif, menghalang perkembangan sel tak terkawal dan merangsang detoksifikasi,” terang Powell.