Thursday, July 17, 2008

Seminar khas kontrak ladang 2 Ogos 2008

KUALA LUMPUR Orang ramai khususnya usahawan tani dipelawa menyertai satu seminar khas mengenai kontrak perladangan dan jaminan belian balik dalam sektor pertanian di Institut Integriti Malaysia, Jalan Duta pada 2 dan 3 Ogos ini.Penaung seminar tersebut, Datuk Pirdaus Ismail berkata, seminar dua hari itu akan mengumpulkan tujuh tokoh usahawan tani berjaya untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan peserta.
Menurutnya, antara usahawan tani itu terdiri daripada pengusaha ternakan ikan ketutu, cacing, ikan keli, lintah, kambing/lembu, cendawan, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Selain itu, katanya, seminar yang mendapat sokongan Biro Pertanian Pergerakan Pemuda UMNO dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu akan disertai oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan TEKUN Nasional.
"Pelbagai kontrak perladangan pertanian dan jaminan belian balik hasil tani akan ditawarkan oleh usahawan tani terlibat kepada peserta.
"Kami melihat ini sebagai mampu melahirkan lebih ramai usahawan tani berilmu dengan bimbingan dari usahawan tani yang telah berjaya selain dapat menentukan hala tuju mereka dalam bidang yang dirasakan mampu untuk mereka terokai sebelum menjadikan bidang ini satu kerjaya," katanya di sini semalam.
Pirdaus berkata, antara objektif penganjuran seminar itu adalah mempertemukan orang ramai dengan para usahawan tani berjaya yang akan membimbing mereka.
Ini, katanya, akan dapat membantu membina rangkaian bagi pengeluaran hasil tani secara besar-besaran bagi membantu negara untuk memecahkan tembok pasaran negara luar.
"Selain faktor modal, ketidakyakinan terhadap penerokaan pasaran sendiri adalah antara punca mengapa terdapat golongan yang menganggap bidang pertanian hanyalah untuk pendapatan sampingan sahaja.
"Justeru, kami berharap dengan bimbingan tokoh-tokoh pertanian ini, dapat membantu merealisasikan hasrat murni kerajaan dalam memartabatkan bidang pertanian ini," katanya.
Mereka yang berminat menyertai seminar tersebut boleh menghubungi talian 03-6189 4115 dan 019-3311298.

No comments: